Selamat Datang ke Sistem Maklumat Perkahwinan Islam Pahang (e-Munakahat)
LAMAN UTAMA JURUNIKAH HUBUNGI KAMI    

Pengenalan

Melepaskan ikatan perkahwinan dengan menggunakan lafaz cerai, talaq atau seumpamanya oleh suami kepada isterinya.Proses perceraian atau pengesahan lafaz cerai hanya di Mahkamah Syariah sahaja.

Jenis-Jenis penceraian

Talaq – Dengan persetujuan / dengan perintah mahkamah

Perceraian berlaku apabila kedua-dua pihak suami dan isteri bersetuju untuk bercerai secara baik, atau suami membuat keputusan untuk menceraikan isteri dengan lafaz talaq.

Lafaz talaq dibahagi kepada dua iaitu:

  • Talaq Sharih : Talak Sharih adalah ucapan/lafaz talak secara jelas yang apabila diucapkan kepada isteri, maka jatuhlah talak/perceraian walaupun suami tidak berniat untuk cerai.
  • Talaq Kinayah : Talak kinayah adalah ucapan/lafaz yang mengandungi makna perceraian yang tersirat tetapi tidak secara langsung tetapi disertai dengan niat untuk menceraikan isterinya.
  • Juga termasuk dalam talak kinayah adalah talak sharih (langsung) yang dibuat secara tertulis atau melalui SMS.

    Taklik

    Maksud cerai taklik ialah lafaz cerai yang dikaitkan dengan suatu janji yang telah dibuat oleh suami selepas akad nikah disempurnakan.

    Sekiranya suami telah melanggar janji yang dibuat, Isteri boleh mengadu kepada Mahkamah Syariah di kawasan yang berhampiran dengan tempat tinggalnya dan sekiranya pengaduan itu sabit dan disahkan oleh Mahkamah, maka terjadilah perceraian secara taklik. Perceraian taklik boleh juga berlaku apabila seorang suami membuat janji atau memberi amaran kepada isteri supaya melakukan atau meninggalkan daripada melakukan sesuatu

    Khuluk

    Perceraian tebus talak atau khuluk ialah suatu perceraian yang diminta oleh isteri daripada suaminya dengan memberi wang atau harta benda lain kepada suaminya.

    Mahkamah mempunyai budi bicara untuk meluluskan permohonan perceraian khuluk walaupun pihak suami tidak memberi persetujuan sekiranya Mahkamah berpendapat bahawa suami isteri tersebut tidak dapat hidup bersama dengan damai dan selaras dengan kewajipan mereka.

    Fasakh

    Perceraian fasakh bermakna pembatalan atau pembubaran perkahwinan antara suami isteri yang disebabkan oleh sesuatu hal yang diharuskan oleh hukum syarak melalui perintah Mahkamah.

    Li’an

    Perceraian secara li'an berlaku apabila suami menafikan anak yang dilahirkan oleh isterinya atau anak di dalam kandungan isterinya sebagai anaknya, atau menuduh isterinya berzina dengan lelaki lain tetapi tidak dapat membuktikan melalui penyaksian empat orang saksi.

    Sumpah li’an dilakukan oleh suami dengan menyatakan atas nama Allah, dia bersumpah bahawa isterinya telah melakukan zina. Sumpah itu dinyatakan sebanyak 4 kali oleh suami, dan pada sumpah kelima, suami menyatakan dia bersedia menerima laknat Allah jika dia berbohong.

    Demikian juga sebaliknya, isteri dapat melakukan sumpah balik (sumpah nukul), atas nama Allah, dia bersumpah bahawa dia tidak melakukan zina. Sumpah itu dinyatakan isteri sebanyak 4 kali dan pada sumpah kelima, isteri menyatakan dia bersedia menerima laknat Allah jika tuduhan suaminya itu benar.

    Maka apabila pihak-pihak tersebut (suami dan isteri) telah mengangkat sumpah dengan cara li'an, mengikut hukum Syara' di hadapan Hakim Syar'ie, maka mereka akan difaraqkan.

    Kesannya, kedua-dua pihak tidak boleh rujuk kembali atau berkahwin semula.