Selamat Datang ke Sistem Maklumat Perkahwinan Islam Pahang (e-Munakahat)
LAMAN UTAMA HUBUNGI KAMI    

ARAHAN TATACARA PELAKSANAAN MAJLIS AKAD NIKAH DI NEGERI PAHANG SEPANJANG TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

Adalah dimaklumkan, merujuk kepada situasi semasa berkaitan dengan pelanjutan tempoh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jabatan Agama Islam Pahang dengan ini menggariskan panduan pelaksanaan majlis akad nikah di Negeri Pahang hendaklah dilaksanakan dengan mematuhi tatacara sepertimana berikut :-

  • Keutamaan pelaksanaan majlis akad nikah diberikan kepada bakal pasangan pengantin yang telah mendapat kebenaran berkahwin (telah mendapat borang Akuan Akad) daripada Pejabat Agama Islam Daerah.
  • Majlis akad nikah hanya dilaksanakan di Pejabat Agama Islam Daerah sahaja atau di suatu tempat yang difikirkan sesuai oleh Al-Fadhil Qadhi Daerah bagi tujuan keselamatan, pematuhan tatacara serta kemudahan pemantauan.
  • Pemohon perlulah memuat turun serta mencetak borang permohonan di https://emunakahat.pahang.gov.my/ dengan melengkapkan “Borang Permohonan Khas Majlis Akad Nikah Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan” ( LAMPIRAN A(i) & A(ii)) dan seterusnya diemelkan ke Pejabat Agama Islam Daerah ( LAMPIRAN B ).
  • Pejabat Agama Islam Daerah akan membuat semakan dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mengenai maklumat pihak yang dinyatakan di dalam borang permohonan bagi mengesahkan pihak yang hadir bukan merupakan senarai Pesakit Dalam Siasatan (Person Under Investigation atau PUI) dan Pesakit Dalam Pemantauan ( Person Under Surveillance atau PUS) bagi tujuan keselamatan. Mana-mana pihak yang tersenarai dalam senarai PUI atau PUS tidak dibenarkan untuk hadir ke majlis akad tersebut.
  • Borang permohonan yang lengkap akan diproses oleh Pejabat Agama Islam Daerah dalam tempoh 7 hari. Satu surat pemakluman kepada pemohon akan diberikan melalui emel bagi menentukan tarikh dan masa majlis akad akan dilaksanakan ( LAMPIRAN C ). Surat pemakluman tersebut perlulah dicetak oleh pemohon bagi tujuan pengesahan perjalanan hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah.
  • Al-Fadhil Qadhi Daerah akan menentukan giliran tempoh waktu pelaksanaan majlis akad nikah mengikut jadual yang akan disusun oleh pihak Pejabat Agama Islam Daerah dengan mengambil kira perbincangan bersama pihak pemohon.
  • Pemohon dan pihak-pihak yang terlibat dalam majlis akad perlulah melepasi dan mematuhi langkah-langkah keselamatan yang akan dilaksanakan di peringkat Pejabat Agama Islam Daerah seperti berikut :-
    1. Pemakaian mask
    2. Melepasi ujian suhu
    3. Penggunaan hand sanitizer (penyahkuman)
    4. Penjarakan sosial (sekurang-kurangnya 1 meter)
    5. Patuh susun atur kedudukan majlis yang ditentukan
    6. Membuat sanitasi tempat majlis akad
  • Meminimakan kehadiran orang ke majlis (tidak melebihi 8 orang) dan hanya yang berkeperluan untuk hadir seperti berikut:
    1. Seorang jurunikah (Ditentukan oleh Al-Fadhil Qadhi Daerah)
    2. Dua orang saksi (Ditentukan oleh Al-Fadhil Qadhi Daerah)
    3. Pengantin lelaki
    4. Pengantin perempuan
    5. Seorang Wali
  • Tempoh masa pelaksanaan majlis akad nikah hendaklah dipendekkan dan tidak melebihi 20 minit.
  • Semua yang hadir pada majlis akad nikah berkenaan hendaklah didaftarkan nama, alamat semasa serta nombor telefon dan diserahkan kepada Al-Fadhil Qadhi Daerah atau wakilnya.
  • Upacara adat istiadat dalam majlis tersebut adalah tidak dibenarkan sama sekali.
  • Beberapa keping gambar majlis akad nikah tersebut akan diambil oleh Pejabat Agama Islam Daerah bagi tujuan penyediaan laporan, rekod serta kemungkinan perkara-perkara berbangkit.
  • Jika terdapat mana-mana pihak yang tidak mematuhi tatacara ini, Al-Fadhil Qadhi Daerah atau wakilnya dengan kuasa Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju’ Negeri Pahang, boleh menangguhkan majlis tersebut.
  •  

    Pengarah, Jabatan Agama Islam Pahang

     

    MUAT TURUN BORANG

    Borang Permohonan Khas Majlis Akad Nikah Dalam Tempoh Kawalan Pergerakan (PKP)